Kebelakangan ini, aku dan ibubapa ku, bersama teman-teman telah bermusyawarah tentang isu kekasih gelap. Adakah nilai sebuah pernikahan dan institusi keluarga kini tiada nilai kerana kelakuan masyarakat yang kurang beretika, kurang moral, sehingga terjadinya penyakit sosial?
Antara pasangan-pasangan yang mempunyai kekasih gelap adalah seperti berikut:
a) Lelaki yang sudah beristeri dan mempunyai anak, bersama wanita yang sudah bersuami dan mempunyai anak.
b) Lelaki yang sudah beristeri dan mempunyai anak, bersama seorang wanita janda/balu.
c) Lelaki yang sudah beristeri dan mempunyai anak, bersama seorang wanita yang sudah bertunang.
d) Wanita yang sudah bersuami dan mempunyai anak, bersama seorang duda.
e) Wanita yang sudah bersuami dan mempunyai anak, bersama seorang lelaki yang sudah bertunang.
f) Lelaki yang sudah bertunang, bersama seorang wanita yang sudah bertunang.
Firman Allah SWT di surah An Nur Ayat 30-31: ”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (dari memandang wanita yang bukan mahram), dan menjaga kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan, dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kehormatan mereka." Sedarkah kita kadang-kadang kita lebih memberitahu sesuatu perkara yang penting kepada 'teman lain jantina' kita dari pasangan kita sendiri. Pada mulanya, pada diri kita yang sudah bertunang atau sudah berumahtangga, malah ada yang sudah mempunyai anak-anak, mungkin secara tidak sengaja kita semua mempunyai teman lain jantina. Di situ lah bermulanya perbualan yang mungkin tiada niat jahat, tetapi itulah anak tangga pertama yang akan membawa diri kita kepada lembah maksiat. Bermula dengan perbualan, beralih kepada SMS/Whatsapp, melangkah ke pertemuan untuk minum kopi, lalu hingga berpegang tangan dan bercumbu-cumbuan lalu berarak ke lembah zina.
Rasulullah bersabda, "Andaikan ditusukkan ke kepala salah seorang diantara kalian dengan jarum besi, yang demikian itu lebih baik daripada dia harus menyentuh wanita yang tidak dibolehkan baginya" Hadith riwayat Imam Thabrani. Tidak ku nafikan tentang keadaan anjakan paradigma di kalangan masyarakat kita sekarang yang telah meneruskan kehidupan bagai orang-orang mempunyai minda yang amat terbuka, seperti orang-orang Barat. Telah berleluasa seks rambang, sehingga terlahirnya anak-anak luar nikah. Adakah ini arah tuju masyarakat kita? Kelakuan yang dianggap penyakit sosial ini, kurang beretika, kurang moral, tetapi semakin ramai yang melakukannya, seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Dari segi hukum agama, memang zina adalah salah satu dosa besar yang teramat.
Firman Allah SWT di surah An Nisa' Ayat 19: "Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi ada yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya". Dari ayat ini amat harus sekali kita melihat kepada segala kebaikan, pengorbanan dan kasih sayang yang telah dicurah oleh pasangan kita sebelum kita melalukan sesuatu perkara yang dapat meruntuhkan rumahtangga yang telah dibina dengan segala doa dan usaha selama ini. Memang benar yang haram itu sedap, seperti kata ayah ku 'hari-hari makan luar, yang dirumah tak terjamah'. Orang yang sudah biasa bersama kekasih-kekasih gelap mereka di luar, suami/isteri sendiri di rumah tak ingin dilayan.
Dari Ibnu Umar r.a dari Nabi Muhammad saw beliau bersabda yang bermaksud, "Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talaq" Hadith riwayat Abu Daud dan Hakim. Hadith ini menunjukkan bahawa memang benar talaq itu halal, tetapi ia adalah perkara yang dimurkai Allah SWT. Bagaimana kita hendak berdepan dengan Allah SWT di Akhirat nanti? Kita harus yakin dengan kata-kata 'perceraian bukan cara penyelesaian', melainkan perkahwinan itu memang harus melalui perceraian kerna sebab-sebab tertentu.
Harus kita ingat bahawasanya murka Allah SWT adalah amat berat untuk kita tempuhi. Kadang-kadang setelah lama berjauhan dengan pasangan masing-masing oleh sebab perbalahan ataupun pekerjaan, keadaan renggang itu akan berakhir dengan perpisahan. Ada wanita yang sanggup meminta perceraian secara fasak, dan yang lelaki pula sanggup menjatuhkan talaq dengan senang-wenang. Harus juga kita ingat bahawa hukum meruntuhkan rumahtangga orang lain adalah haram.
Akhir kalam, setiap hubungan bagaikan cuaca. Kadangkala panas kadangkala cerah. Mungkin jua gerimis, juga hujan lebat. Tetapi bila mendung tidak bererti akan hujan. Semoga Allah SWT memberi Rahmat kepada kita, pasangan pilihan kita dan juga ahli keluarga kita, serta keturunan kita In Sya' Allah.
No comments:
Post a Comment